12.24.2009

LAPORAN KAJIAN KEPELBAGAIAN SERANGGA PEROSAK DAN BUKAN PEROSAK DI KAWASAN PENANAMAN SRI, LUBOK CHINA, MELAKA

Oleh:

Norela Sulaiman, Maimon Abdullah & Nurul Ashikeen Ahmad Rithauddeen

Pusat Pengajian Sains Sekitaran dan Sumber Alam,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
E-mail: vozela@ukm.my

Kaedah tanaman padi SRI ini memberi banyak manfaat kerana memberi hasil yang sangat memberansangkan berbanding padi biasa, masa penuaian yang lebih pendek serta kurang pengairan diperlukan. Oleh sebab kurang pengairan diperlukan untuk tanaman padi SRI maka pelepasan gas rumah hijau iaitu metana (CH4) turut berkurang berbanding kawasan sawah padi biasa yang digenangi air. Selain itu padi SRI yang menggunakan baja organik sepenuhnya mengekalkan kesuburan tanih dan mengelakkan kekurangan hasil padi untuk jangka masa yang panjang akibat penggunaan baja kimia yang menghakis kesuburan tanih dari semasa ke semasa yang akhirnya akan menyebabkan kekurangan hasil tanaman. Kaedah penanaman padi SRI dijamin dapat memulihkan kesuburan tanih dan menjamin keseimbangan ekosistem sawah.

Walau bagaimanapun ekosistem sawah padi menjadi habitat utama spesies serangga tertentu yang menjadikan pokok padi sebagai sumber makanannya, bermula dari benih padi mula di semai sehinggalah dituai menarik kehadiran serangga yang berbeza-beza (Koji, 1978). Terdapat tiga kategori serangga yang terdapat dalam ekosistem sawah padi. Kategori pertama adalah spesies serangga yang yang menjadi perosak kepada tanaman itu sendiri. Kategori serangga perosak ini dibahagikan kepada perosak major yang sentiasa mendatangkan kerosakan serius secara berulang dan perosak minor yang cuma mendatangkan kerosakan serius sekali-sekala. Terdapat lebih kurang 12 jenis spesies perosak utama dan 20 jenis perosak minor yang terdapat di sawah padi. Dari segi serangan serangga perosak ini boleh dibahagikan kepada pengorek batang, penghisap batang dan daun, penggulung daun, pemakan daun dan penghisap biji. Kategori kedua pula meliputi serangga yang bertindak sebagai pemangsa atau parasitoid kepada serangga perosak. Serangga jenis ini memainkan peranan yang penting dalam mengawal populasi serangga perosak daripada menjadi tinggi. Selain serangga, terdapat juga beberapa kumpulan organisma lain yang turut bertindak sebagai musuh semulajadi kepada serangga perosak padi. Antaranya ialah labah-labah, nematod, bakteria, kulat, virus, katak serta ikan.

Kategori ketiga adalah kesemua spesies serangga yang terdapat dalam ekosistem sawah padi yang tidak berfungsi sebagai serangga perosak mahupun musuh semulajadi serangga perosak. Serangga-serangga ini mungkin merupakan serangga yang berhijrah atau yang hidup pada rumpai yang terdapat dalam habitat tersebut. Dipercayai bahawa spesies serangga 'neutral' ini berkemungkinan menjadi sumber makanan atau hos alternatif kepada kumpulan pemangsa dan parasitoid yang secara normalnya menyerang serangga perosak. Kehadiran serangga 'neutral' ini juga membantu mengekalkan populasi musuh semulajadi sekiranya populasi serangga perosak rendah.


Kajian ini dilakukan bagi mengenalpasti kepelbagaian serangga selaras dengan pertumbuhan pokok padi SRI. Persampelan dilakukan secara manual sebanyak 7 kali dari 18 Julai- 1 Oktober 2009 di kawasan plot sawah padi seluas 40 X 80 m. Pengecaman serangga dilakukan sehingga ke peringkat famili berdasarkan Borror et al. (1981), Bland and Jagues (1978), Barlow (1982) dan Romoser & Stoffolano (1998). Pengecaman juga dilakukan berdasarkan kepada spesimen sedia ada yang terdapat di Pusat Sistematik Serangga, Universiti Kebangsaan Malaysia. Kepelbagaian spesies ditentukan menggunakan Indeks Shannon-Weiner (H’) dan Indeks Kesamarataan Shannon-Weiner (E’). Selain itu spesies melimpah, spesies umum dan spesies langka juga ditentukan.


Sebanyak 7 order serangga telah dikenalpasti yang meliputi 20 famili yang terdiri daripada serangga diurnal dan nokturnal. Pengecaman ke peringkat spesies akan diteruskan dan status fungsi setiap serangga terhadap tanaman padi akan ditentukan. Hubungan di antara kepelbagaian serangga dan perkembangan padi akan dikenalpasti. Cuaca buruk seperti hujan lebat mengganggu proses persampelan dan kekurangan spesimen kajian.


Diptera Calliphoridae


Coleoptera Coccinellidae



Homoptera Delphacidae


Hemiptera Miridae



Odonata Libellulidae


Orthoptera Gryllotalpidae


Lepidoptera Noctuidae